APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) atau
Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan memberi sijil kelayakan kemasukan ke universiti kepada individu yang
hanya mempunyai pengalaman sesuatu perkara atau bidang tetapi
kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti.
Sebagai contoh:
1. Ada pengalaman sesuatu perkara / bidang + berumur 20 tahun = boleh sambung DIPLOMA di mana mana universiti di Malaysia walaupun tiada sijil SPM atau apa apa sijil berkaitan.
2. Ada pengalaman sesuatu perkara / bidang + berumur 21 tahun = boleh sambung DEGREE di mana mana universiti di Malaysia walaupun tiada sijil SPM atau apa apa sijil berkaitan seperti STPM/Diploma/Asasi dan sebagainya.
3. Ada pengalaman sesuatu perkara / bidang + berumur 30 tahun + ada sijil STPM/Diploma/Asasi/Matrikulasi/Setara = boleh sambung MASTER di mana mana universiti di Malaysia walaupun tiada degree, sijil SPM atau apa apa sijil berkaitan.
Untuk artikel kali ini saya akan bincangkan sedikit sebanyak mengenai nombor 3 seperti diatas iaitu berkaitan proses proses untuk mendapatkan sijil kelayakan kemasukan universiti bagi membolehkan anda mengambil apa apa jurusan di peringkat Master. Bagi perkara nombor 1 dan nombor 2, jika ada yang masih mencari, boleh rujuk di artikel sebelum ini dengan mengklik
pautan ini.
PROSES MENDAPATKAN SIJIL LAYAK MENYAMBUNG MASTER
Seperti sedia maklum bagi meneruskan pengajian ke peringkat Master menggunakan sijil APEL, pertamanya (proses paling mudah & kelulusan serta merta ketika pendaftaran) pihak MQA (Malaysia Qualifications Agency) akan memastikan 2 syarat paling asas iaitu perlu berumur sekurangnya 30 tahun dan perlu mempunyai STPM/Diploma/Asasi/Matrikulasi/Setara perlu dipatuhi terlebih dahulu.
Setelah 2 syarat ini cukup, barulah syarat ketiga @ syarat yang terakhir akan dimulakan gerak kerjanya iaitu perlunya membuktikan ada pengalaman dalam sesuatu perkara atau bidang yang berkaitan dengan jurusan Master yang ingin dipohon. Contoh 1: Anda ada pengalaman berniaga sejak dari umur 21 tahun hingga 29 tahun, anda boleh terus memohon jurusan Master of Business Administration (MBA) di Universiti Sains Malaysia (USM) atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setelah memperoleh sijil APEL. Contoh 2: Jika anda seorang guru senior berkelulusan diploma pendidikan tetapi sudah mempunyai bertahun pengalaman mendidik, anda boleh terus memohon jurusan Master @ Sarjana Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tanpa perlu mengambil degree @ Ijazah Sarjana Muda Pendidikan setelah lulus mendapatkan sijil APEL.
Untuk membuktikan pengalaman pengalaman dalam sesuatu perkara atau bidang, terdapat 3 proses yang perlu dilalui iaitu:
1. Menduduki ujian bertulis - 40%
2. Membuktikan dokumen dokumen atau bukti bukti yang berkaitan pengalaman pemohon. - 50%
3. Temuduga - 10%
Markah keseluruhan untuk dikira lulus dan akan dianugerahkan sijil APEL ialah 50%. Walaubagaimanpun markah ujian bertulis perlu sekurangnya lulus separuh daripada 40% terlebih dahulu sebelum layak ke proses membuktikan dokumen dokumen atau bukti bukti yang berkaitan pengalaman pemohon. Sebagai contoh: Ujian bertulis anda hanya skor 10% dari 40% (hanya suku daripada 40%), anda terus dikira gagal dan tak layak untuk dipanggil bagi membuktikan dokumen dokumen atau bukti bukti yang berkaitan pengalaman. Contoh lain: Ujian bertulis anda skor markah ngam ngam 20% dari 40% (20% dikira separuh daripada 40%), anda layak untuk langkah seterusnya untuk submit dokumen bukti bukti pengalaman.
Sepanjang pengalaman saya berhadapan dengan pemohon pemohon bagi mendapatkan sijil APEL, tidak dinafikan hampir kesemua mereka bersetuju untuk lulus ujian bertulis merupakan langkah pertama paling mencabar. Ini ditambah lagi jika tidak skor sekurangnya separuh, terus kecundang awal. Bila sudah lulus ujian bertulis, menyiapkan dokumen dokumen pengalaman dan temuduga sudah menjadi mudah kerana format format dokumen dan temuduga sudah disediakan di laman sesawang APEL oleh pihak MQA.
Kekurangan sumber untuk mengulangkaji dan melakukan latih tubi soalan antara punca ramai gagal ujian bertulis. Ramai juga kurang informasi mengenai maklumat maklumat asas berkaitan ujian bertulis APEL seperti format, jumlah soalan, markah dan masa yang ditetapkan.
Artikel ini akan bersambung di artikel lain khusus yang akan membincangkan hal ehwal berkaitan ujian bertulis APEL sahaja.
Terima kasih atas kesudian membaca artikel ini. Semoga jihad kita dalam menuntut ilmu sentiasa dipermudahkan.
Muhammad Rafiq Adnan, rafiqadnan69@gmail.com