Pages

Monday, 24 February 2025

CARA LULUS UJIAN BERTULIS APEL T7

Ujian bertulis Accreditation of Prior Experiential Learning Tahap 7 (APEL T7) adalah salah satu komponen penting dalam mendapatkan pengiktirafan pembelajaran terdahulu daripada pihak MQA (Malaysian Qualifications Agency)

Atau dalam kata lain untuk mendapatkan pengikitirafan secara rasmi terhadap pengalaman pengalaman kita yang sifatnya dalam bentuk bentuk abstrak dan tak berekod dengan jelas, ujian bertulis APEL T7 ini perlu lulus seperti persamaan yang saya buat di bawah.

PENGALAMAN+LULUS UJIAN APEL T7=PENGALAMAN DIIKTIRAF

PENGALAMAN+GAGAL UJIAN APEL T7=PENGALAMAN TIDAK DIIKTIRAF

Artikel kali ini akan menerangkan strategi dan tips berkesan supaya anda dapat lulus ujian bertulis APEL T7 dengan cemerlang atau sekurangnya melepasi markah 50% untuk dikira lulus.

Pasti masih ada yang tidak tahu lagi bahawa walaupun anda bukannya lulusan ijazah ataupun degree, anda berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana @ masters dengan hanya menggunakan sijil diploma/matrikulasi/STPM/asasi ataupun yang setara dengannya. Saya ada kongsikan disini caranya.





Suka saya tekankan disini terdapat 4 perkara penting bagi calon yang ingin menduduki ujian bertulis APEL T7 perlu fahami dulu iaitu:

  1. Calon perlu fahami format, struktur & cara pemarkahan ujian aptitud APEL T7.
  2. Calon perlu tahu tahap kesusahan soalan jenis bagaimana yang akan diuji yang bersesuaian dengan tahap APEL 7.
  3. Calon perlu cekap memperuntukkan masa untuk menjawab kesemua soalan soalan ujian aptitud APEL T7 mengikut masa yang ditetapkan.
  4. Calon perlu berpengetahuan mengenai subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik & Pengetahuan Am/Pemikiran Kritis

Hasil pengalaman terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menggubal soalan ujian aptitud APEL, saya perhatikan calon calon yang menguasai keempat empat elemen di atas ini biasanya tiada masalah besar untuk lulus dengan mudah ujian bertulis APEL T7 atau dipanggil ujian aptitud APEL T7.

Saya akan huraikan satu persatu secara mudah dan ringkas setiap elemen elemen tersebut supaya calon calon lebih mudah faham.

FORMAT, STRUKTUR & CARA PEMARKAHAN

Format ujian aptitud APEL T7 terbahagi kepada 2 jenis iaitu soalan objektif dan soalan subjektif. Struktur soalan untuk setiap subjek ialah apabila calon membuka kertas soalan, soalan soalan objektif akan terpapar dahulu dan diikuti soalan subjektif di bahagian akhir kertas peperiksaan. Cara pemarkahan pula setiap soalan objektif yang betul akan diberikan 1 markah dan markah maksima untuk setiap soalan subjektif pula 5 markah.

TAHAP KESUSAHAN SOALAN

Susah senang ujian aptitud APEL T7 bercampur aduk antara kesenangan subjek subjek di sekolah dan kesusahan tahap ijazah atau degree. Walaubagaimanapun, ianya tidaklah susah yang terlalu kompleks dan terperinci seperti subjek subjek yang diambil oleh pelajar ijazah di universiti. Mengikut pengalaman saya, saya boleh bahagikan tahap susah senang soalan APEL T7 seperti 1/3 seperti subjek subjek di sekolah menengah/spm, 1/3 seperti subjek subjek di peringkat diploma/asasi/stpm/matrikulasi dan 1/3 seperti subjek subjek peringkat ijazah sarjana muda di universiti.

MASA

Dapat menjawab kesemua soalan dengan betul dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan merupakan perkara yang menjadi keutamaan calon. Anda akan diberikan masa selama 2 jam 30 minit untuk menjawab 75 soalan objektif dan 5 soalan subjektif. Untuk bahagian ini, tiada cara lain iaitu dengan kerap melakukan latih tubi set set soalan contoh APEL T7 akan sedikit sebanyak melatih calon calon dalam membiasakan diri menghadapi tekanan menjawab soalan mengikut masa yang ditetapkan. Insyallah di posting akan datang saya akan kongsikan set set soalan yang calon calon boleh jawab sebagai latih tubi sebelum menghadapi peperiksaan APEL yang sebenar. Saya sudah memuatnaik contoh set soalan ujian aptitud APEL T7 disini.

BM, BI, MATEMATIK & PENGETAHUAN AM/PEMIKIRAN KRITIS

Bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris & Matematik, saya boleh katakan topik yang akan diuji ialah topik yang pernah atau biasa kita lalui semenjak dari zaman persekolahan hinggalah ke silibus silibus di tahap diploma/matrikulasi/STPM/asasi. Walaubagaimanapun seperti saya katakan sebelum ini, ianya tidak akan menguji ke bahagian atau topik yang terlalu mendalam, tidak terlalu kompleks, tidak terlalu terperinci dan tidak perlu mengambil masa yang terlalu lama untuk menjawab tiap satu soalan. Ingat, ini adalah ujian untuk anda dapatkan tiket untuk masuk universiti bagi sambung masters. Bukan ujian untuk dapatkan scroll masters dan grad terus!

Bagi anda yang jenis dinamik dan sentiasa terdedah kepada pembacaan isu isu semasa, subjek pengetahuan am berkaitan sosial, ekonomi dan politik ini pasti akan memberikan banyak markah untuk anda. Biasanya akan keluar isu semasa yang sedang hangat, contoh: tahun 2025 kebakaran dahsyat di Amerika, isu 2 atau 3 tahun kebelakang yang pernah hangat, contoh: teknologi kereta elektrik, isu besar paling hangat pernah dialami dunia contoh: Covid 19 atau isu yang setiap tahun akan hangat, contoh: perang di timur tengah, rasuah dan sebagainya. Subjek pengetahuan am juga boleh jadi akan disekalikan dengan soalan soalan yang memerlukan pemikiran kritis yang akan menguji kemahiran pengelasan, pengecaman pola, penaakulan logik dan sebagainya.


Semoga sedikit perkongsian saya ini sedikit sebanyak akan membantu calon calon APEL T7 untuk lulus ujian bertulis aka ujian aptitud APEL T7 dengan jayanya. Saya doakan yang terbaik untuk semua. 

Terkini: Boleh mengklik dan layari posting seterusnya kerana saya sudah pun kongsikan contoh soalan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik & Pengetahuan Am/Pemikiran Kritis Ujian Aptitud APEL T7.

Terima kasih.


Muhammad Rafiq Adnan, rafiqadnan69@gmail.com

Sunday, 23 February 2025

CARA TERUS SAMBUNG MASTER GUNA DIPLOMA

APEL (Accreditation of Prior Experiential Learning) atau Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi tujuan memberi sijil kelayakan kemasukan ke universiti kepada individu yang hanya mempunyai pengalaman sesuatu perkara atau bidang tetapi kurang kelayakan atau tiada kelayakan akademik untuk menyambung pengajian ke peringkat universiti.

Sebagai contoh:

1. Ada pengalaman sesuatu perkara / bidang + berumur 20 tahun = boleh sambung DIPLOMA di mana mana universiti di Malaysia walaupun tiada sijil SPM atau apa apa sijil berkaitan.

2. Ada pengalaman sesuatu perkara / bidang + berumur 21 tahun = boleh sambung DEGREE di mana mana universiti di Malaysia walaupun tiada sijil SPM atau apa apa sijil berkaitan seperti STPM/Diploma/Asasi dan sebagainya.

3. Ada pengalaman sesuatu perkara / bidang + berumur 30 tahun + ada sijil STPM/Diploma/Asasi/Matrikulasi/Setara = boleh sambung MASTER di mana mana universiti di Malaysia walaupun tiada degree, sijil SPM atau apa apa sijil berkaitan.

Untuk artikel kali ini saya akan bincangkan sedikit sebanyak mengenai nombor 3 seperti diatas iaitu berkaitan proses proses untuk mendapatkan sijil kelayakan kemasukan universiti bagi membolehkan anda mengambil apa apa jurusan di peringkat Master. Bagi perkara nombor 1 dan nombor 2, jika ada yang masih mencari, boleh rujuk di artikel sebelum ini dengan mengklik pautan ini.


PROSES MENDAPATKAN SIJIL LAYAK MENYAMBUNG MASTER


Seperti sedia maklum bagi meneruskan pengajian ke peringkat Master menggunakan sijil APEL, pertamanya (proses paling mudah & kelulusan serta merta ketika pendaftaran) pihak MQA (Malaysia Qualifications Agency) akan memastikan 2 syarat paling asas iaitu perlu berumur sekurangnya 30 tahun dan perlu mempunyai STPM/Diploma/Asasi/Matrikulasi/Setara perlu dipatuhi terlebih dahulu. 

Setelah 2 syarat ini cukup, barulah syarat ketiga @ syarat yang terakhir akan dimulakan gerak kerjanya iaitu perlunya membuktikan ada pengalaman dalam sesuatu perkara atau bidang yang berkaitan dengan jurusan Master yang ingin dipohon. Contoh 1: Anda ada pengalaman berniaga sejak dari umur 21 tahun hingga 29 tahun, anda boleh terus memohon jurusan Master of Business Administration (MBA) di Universiti Sains Malaysia (USM) atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) setelah memperoleh sijil APEL. Contoh 2: Jika anda seorang guru senior berkelulusan diploma pendidikan tetapi sudah mempunyai bertahun pengalaman mendidik, anda boleh terus memohon jurusan Master @ Sarjana Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) atau Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) tanpa perlu mengambil degree @ Ijazah Sarjana Muda Pendidikan setelah lulus mendapatkan sijil APEL.

Untuk membuktikan pengalaman pengalaman dalam sesuatu perkara atau bidang, terdapat 3 proses yang perlu dilalui iaitu:

1. Menduduki ujian bertulis - 40%
2. Membuktikan dokumen dokumen atau bukti bukti yang berkaitan pengalaman pemohon. - 50%
3. Temuduga - 10%

Markah keseluruhan untuk dikira lulus dan akan dianugerahkan sijil APEL ialah 50%. Walaubagaimanpun markah ujian bertulis perlu sekurangnya lulus separuh daripada 40% terlebih dahulu sebelum layak ke proses membuktikan dokumen dokumen atau bukti bukti yang berkaitan pengalaman pemohon. Sebagai contoh: Ujian bertulis anda hanya skor 10% dari 40% (hanya suku daripada 40%), anda terus dikira gagal dan tak layak untuk dipanggil bagi membuktikan dokumen dokumen atau bukti bukti yang berkaitan pengalaman. Contoh lain: Ujian bertulis anda skor markah ngam ngam 20% dari 40% (20% dikira separuh daripada 40%), anda layak untuk langkah seterusnya untuk submit dokumen bukti bukti pengalaman.

Sepanjang pengalaman saya berhadapan dengan pemohon pemohon bagi mendapatkan sijil APEL, tidak dinafikan hampir kesemua mereka bersetuju untuk lulus ujian bertulis merupakan langkah pertama paling mencabar. Ini ditambah lagi jika tidak skor sekurangnya separuh, terus kecundang awal. Bila sudah lulus ujian bertulis, menyiapkan dokumen dokumen pengalaman dan temuduga sudah menjadi mudah kerana format format dokumen dan temuduga sudah disediakan di laman sesawang APEL oleh pihak MQA.

Kekurangan sumber untuk mengulangkaji dan melakukan latih tubi soalan antara punca ramai gagal ujian bertulis. Ramai juga kurang informasi mengenai maklumat maklumat asas berkaitan ujian bertulis APEL seperti format, jumlah soalan, markah dan masa yang ditetapkan.

Artikel ini akan bersambung di artikel lain khusus yang akan membincangkan hal ehwal berkaitan ujian bertulis APEL sahaja.

Terima kasih atas kesudian membaca artikel ini. Semoga jihad kita dalam menuntut ilmu sentiasa dipermudahkan.

Muhammad Rafiq Adnan, rafiqadnan69@gmail.com