Pages

Saturday, 14 January 2023

CARA SISTEMATIK JENAMA BESAR BERGERAK

Memiliki brand atau jenama yang terkenal, kukuh dan dipercayai merupakan impian dan kegilaan bagi semua pemilik perniagaan mahupun pemilik produk.

Bila cerita apa nak buat untuk ada brand yang power, rata rata peniaga amatur akan berkata "Ala print lah banner banyak banyak, lepas tu gantung kat tempat ramai orang."

"Tak pun join je Facebook Group setempat, kemudian blast iklan iklan kat dalam tu."

Artikel ketiga untuk tahun 2023 ini, saya akan kongsikan dapatan saya hasil dari kajian, pemerhatian dan pengalaman bekerjasama dan berdamping dengan orang orang dalam industri marketing dan branding dari syarikat syarikat yang sudah mencipta kejayaan dari penjenamaan. Teruskan membaca.

ANTARA JENAMA BESAR DI MALAYSIA


Bila bertanya kepada pakar pakar dalam industri berkaitan penjenamaan, rata rata semua akan beri pelbagai respon berkaitan branding. Tapi dalam banyak banyak pendapat dan pandangan yang diberikan, saya berjaya merumus dan meringkaskan bahawa ada 3 perkara asas yang paling perlu dititikberatkan terlebih dahulu untuk langkah menjenamakan sesuatu jenama berjalan secara sistematik. Antaranya:

1. Keseragaman rekabentuk media dan identiti jenama yang diketengahkan
2. Lindung jenama dengan tidak membawa identiti yang tidak berkaitan
3. Wajib ada buku Panduan Gaya Jenama (Brand Style Guideuntuk sesuatu jenama

KONSISTEN DAN SERAGAM

Konsisten bukan bermaksud anda perlu blast iklan anda hari hari. Dan seragam pula bukan bermaksud kandungan kandungan kreatif iklan anda itu perlu skema, rigid dan membosankan. Konsisten dan seragam yang di maksudkan disini ialah konsisten dalam membawa identiti jenama yang sudah diputuskan identiti pembawakannya dari awal lagi.

Sebagai contoh, jika anda melihat jenama besar seperti McDonalds ketika beriklan mempromosi Nasi Lemak McD, jika dilihat warna yang digunakan, penggunaan font yang digunakan, ianya tampak seragam dan konsisten sahaja berbanding iklan iklan produk makanan western yang lain walaupun kadangkala iklan yang dipersembahkan fleksibel mengikut kehendak pasaran setempat. Sangat profesional kan?

LINDUNG JENAMA

Melindungi jenama bukan sekadar mendaftarkan harta intelek cap dagangan dengan pihak berkuasa setempat seperti MYIPO sahaja. Ianya lebih daripada itu. Sesuatu jenama itu kebiasaannya tidak mencapai matlamat penjenamaan yang diharapkan bukan disebabkan cap dagangan itu ditiru atau dicuri oleh orang lain, tetapi pemilik atau orang orang yang berkaitan dengan sesuatu jenama itu tidak membawa identiti sesuatu jenama itu dengan sebaiknya. Lebih buruk lagi, pemilik atau orang berkaitan sesuatu jenama tersebut tidak melindunginya dengan membawa identiti lain yang langsung tiada kaitan dengan sesuatu jenama tersebut yang akhirnya akan membawa kepada kekeliruan pembawakan identiti sesebuah brand.

Sebagai contoh jika kita lihat jenama motosikal berkuasa tinggi terkenal Harley Davidson, jika ada dalam kalangan pembaca yang pernah memasuki showroom atau berurusan dengan pekerja mereka, dari segi penampilan, intonasi percakapan, layanan dan atmosfera yang dibawakan akan bertemakan GAGAH, BERKUASA TAPI KEKAL TENANG MARA KE HADAPAN. Kadangkala mereka tidak berkata kata apa pun. Tapi kita sendiri boleh rasa aura dan identiti pembawakan jenama yang diketengahkan. Mereka sepakat satu organisasi melindungi identiti pembawakan jenama mereka.

BUKU PANDUAN JENAMA


Buku Panduan Gaya Jenama (Brand Style Guide) boleh dikatakan sesuatu sumber rujukan yang akan membuatkan sesuatu jenama itu akan tampil seragam dan konsisten sama ada jika dicetak ke bentuk media fizikal mahupun dipaparkan dalam bentuk media digital. Kebiasaannya pengasas sesuatu jenama itu akan terlibat bersama pihak designer yang merekabentuk logo untuk membangunkan sesebuah Brand Style Guide yang sempurna.

Apa kesannya jika tidak ada Brand Style Guide untuk dijadikan rujukan? Anda pernah nampak para peniaga amatur bila beriklan, disebabkan menggunakan designer rojak yang berbeza, ditambah dengan menggunakan khidmat percetakan yang berbeza, hasilnya caca marba,  tidak seragam dan tidak konsisten? Paling kelakar ialah bila ada bermacam jenis logo yang digunakan mengikut suka hati, warna berbeza dan font berbeza tanpa merujuk kepada Brand Style Guide. Atau mungkin mereka langsung tiada Brand Style Guide untuk dirujuk. Kalau rojak begini, bagaimana brand anda nak kekal diingati dalam ingatan para pelanggan?

Perlu diingat, berbelanja dalam beriklan, merupakan antara kos perbelanjaan yang tinggi dalam sesebuah syarikat. Sangat rugi jika anda spend iklan hanya untuk mendapatkan sales semata mata. Spend iklan untuk mendapatkan jualan hanyalah memberikan kelebihan dalam jangka masa pendek sahaja. Tetapi jika dari permulaan anda merancang sebaik baiknya untuk mencapai branding goals, ianya memberikan anda kedua dua kelebihan dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Sales dapat, value brand anda semakin meningkat, berharga dan bernilai. Apa boleh buat kalau brand value meningkat? Banyak! Antaranya nak licensing or franchising for royalty pun boleh. Kalau rasa nak pencen atau nak melepaskan terus sesuatu jenama tersebut, jual terus pun boleh. Jenama anda, anda punya sukalah kan?

Marilah kita membina jenama sendiri secara teratur dan sistematik. Sikit sikit, lama lama pasti jadi bukit. 

Terima kasih kerana membaca sehingga habis.





Muhammad Rafiq Adnan, rafiqadnan69@gmail.com

No comments:

Post a Comment